mcmc
Pelancongan & Tempat Bersejarah

Aktiviti Adat Melanau Kampung Tellian Mukah

kaul-7

 

AKTIVITI

Kaul Serahang Kakan 2023 yang telah berlangsung dengan meriahnya pada 11 Mac 2023, Sabtu di Perkarangan Jeti Kampung Tellian Tengah dan Tapak Kaul Serahang Kakan, Kala Dana Mukah dengan tema “Tiada Seuniknya”. Antara tetamu kehormat yang hadir memeriahkan upacara ini ialah Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen P213, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib seterusnya Ahli Dewan Undangan Negeri N57 Tellian, YB Royston Valentine dan Ahli Dewan Undangan N58, YB Yakub Arbi. Aktiviti tersebut telah bermula seawal jam 7.00 pagi.  Terdapat pelbagai jenis bot/perahu yang telah mengambil tempat di dalam acara Perahu Berhias.  Bot/Perahu telah berarak menyusuri sungai Tellian dan membawa “Serahang” menuju ke lokasi upacara yang dikenali sebagai “Tugek”. Ketibaan tetamu kehoramat dan rombongan telah disajikan dengan persembahan tarian dan seni silat.

TUJUAN

Mengikut kepercayaan kaum Melanau pada zaman dulu penyerahan “Serahang Kakan” ini adalah sebagai petanda Pesta Kaul Bermula.  Serahang ini dihantar adalah bagi tujuan untuk menjamu Ipok yang telah menjaga laut selain untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat ketika berada di laut bagi para nelayan serta untuk mengelak daripada pelbagai wabak dan penyakit.  Upacara ini perlu dilakukan dalam bulan Febuari atau Mac kerana dalam kalendar Kaum Melanau bulan tersebut dipanggil sebagai Bulan Pengejin.  Antara individu yang wajib menjalankan upacara tersebut ialah Bapa Kaul.  Beliau merupakan perantara bagi menghubungkan penduduk di dunia nyata dan Ipok.  Bapa Kaul bertanggungjawab untuk makhluk halus dan Ipok, menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin menimpa.  Beliau akan memastikan segala pantang larang kaul dipatuhi dan bakal menghukum kepada sesiapa yang mengingkarinya.  Antara pantang larang yang wajib dipatuhi ialah dilarang ke hutan dan ke laut untuk menangkap ikan sehingga keesokan paginya setelah selesai Kaul Serahang Kakan ini dijalankan dan kebiasaannya selepas jam 12.00 tengah hari.  Bapa Kaul akan membawa makanan yang berisi seperti sirih pinang, penyaram dan pulut kuning.  Serahang mestilah mengandungi tujuh jenis makanan dan tujuh jenis piring di dalamnya.  Makanan jenis berdarah tidak dibenarkan.  Makanan yang tidak habis tidak dibenarkan untuk dibawa balik dan haruslah ditanggalkan di situ sahaja.  Bapa Kaul akan menaburkan beras kuning di laut dan darat bagi memohon perlindungan dari Ipok untuk menjaga kedua-dua tempat tersebut.  Selepas upacara memberi makan Ipok akan diteruskan acara makan beramai-ramai oleh penduduk kampung yang membawa jamuan masing-masing.  Ini adalah syarat adat bagi Kaum Melanau untuk melengkapkan upacara ritual tersebut.